Beremosi Tanpa Kontroversi

Kisah Zaiton Sameon Dibongkar !!

Jika diajukan soalan kepada anak muda zaman ini mengenai kewujudan Zaiton Sameon yang pernah meniti zaman kegemilangannya satu ketika dulu, pastinya ramai yang berkerut dahi .


Zaiton Ceritaku

Kalau ada pun yang mengenalinya, cuma menerusi lagu hitsnya ‘Menaruh Harapan’ yang dapat mereka kaitkan. Wajahnya dan kisah hidup tragisnya? Tidak ramai yang peduli. Namun masih terdapat peminat setia penyanyi yang pernah popular sekitar tahun awal 90an ini yang mengharap kemunculan kembali diva mereka ke persada hiburan tanah air.

Meletakan Zaiton Sameon sebagai salah satu butir permata dalam industri hiburan Malaysia, terdetik di hati sepasang suami isteri ini untuk mengilhamkan satu filem khas mengenai kisah hidup penyanyi ini. Hj Burhanuddin Md Radzi dan Hjh Ainon Ariff yang merupakan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd sekaligus merangkap penerbit kepada filem ‘Zaiton Ceritaku’ ini bersedia membongkarkan kisah sebenar perjalanan Zaiton Sameon buat tatapan peminatnya dan juga sebagai pengetahuan kepada anak muda yang masih samar-samar tentang peristiwa sebenar yang terjadi kepada penyanyi ini.


Zaiton Ceritaku

Bersandarkan kepada keupayaan menyanyi dan lakonan hebat Nadia Aqilah, produksi yang menghasilkan filem ini, Bruang Filem Sdn Bhd percaya bakat anak muda ini mampu membawa perwatakan Zaiton Sameon dengan baik sekali. Nadia Aqilah yang aktif dalam dunia teater dan drama juga sebenarnya pernah menghasilkan single albumnya sendiri. Oleh itu, beliau telah diberi laluan untuk menyanyikan kembali dua lagu popular Zaiton Sameon iaitu ‘Kabut Serangkai Mawar’ dan ‘Menaruh Harapan’ yang dimuatkan menerusi filem ini.

Secara ringkasnya, filem ‘Zaiton Ceritaku’ ini mengupas kembali detik-detik perjalanan Zaiton Sameon ketika meniti zaman popularitinya sehingga beliau jatuh akibat peristiwa hitam yang berlaku dalam hidupnya seperti kemalangan ngeri yang mengorbankan anak kesayangannya, kisah keluarganya, kisah mereka yang cuba memperalatkan dirinya dan juga kisah kemunculan seorang lelaki yang jujur ingin membantunya. Namun, terdapat jua kisah peribadi yang turut diselitkan menerusi filem ini di mana tidak semua yang mengetahuinya dan ia dikatakan menjadi punca atau balasan kepada yang berlaku dalam hidup Zaiton Sameon sekarang.


Zaiton Ceritaku

Mungkin ada yang berkata tidakkah filem ini seperti menjatuhkan air muka Zaiton Sameon sendiri? Setiap penghasilan filem mempunyai tujuan dan mesej yang tersendiri. Filem ini bukanlah dibuat untuk memburukkan penyanyi tersohor itu namun atas kebenaran Zaiton Sameon sendiri yang sudi berkongsi cerita suka dukanya selama ini, beliau ingin menjadikan filem yang berdasarkan kisah benar hidupnya sebagai tauladan kepada semua peminatnya dan rata-rata mereka yang masih kurang jelas mengenai kisah hidupnya yang mungkin selama ini telah disalah sangka. Beliau mengharapkan filem ini dapat membantu untuk menjelaskan kepada umum tentang apa yang terjadi dalam hidupnya.

Akan menemui penonton bermula 1 November 2012 ini, filem pertama arahan Esma Daniel ini mampu menderaikan air mata penonton yang pasti tersentuh dengan paparan kisah sebenar penyanyi ‘Menaruh Harapan’ ini. Siapa sangka itulah perkara yang terjadi kepada dirinya.



Gosip Label Aishah Aziz Gosip Yuna

Wordpress Themes - Photography WordPress Themes - Newspaper & Magazine WordPress Themes