Beremosi Tanpa Kontroversi

Untuk Kamu – Lagu Terbaru daripada Suki Low

Nama Suki Low bukanlah satu nama yang asing dalam industri hiburan tempatan. Beliau pernah melakar sejarah tatkala menjuarai rancangan nyanyian realiti ‘One in a Million’ musim pertama pada tahun 2006 dan sekaligus memenangi wang tunai berjumlah RM1,000,000. Beliau juga pernah memenangi Anugerah Industri Muzik selepas kemunculannya.



Sungguhpun begitu, namanya sering tenggelam dan timbul di dalam industry hiburan tempatan. Ramai yang mempersoalkan semua ini. Kenapa seorang juara rancangan realiti yang begitu gah tidak mendapat perhatian yang diharapkan?

Adakah kerana beliau tidak berbakat? Atau mungkinkah kerana bakat dan kerjayanya telah disalah uruskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil sikap sambil lewa dalam mempromosikan bakat beliau sehingga kes tersebut dibawa ke muka pengadilan mahkamah?

Biar apa pun sebabnya, Suki tidak pernah berputus asa dan masih utuh membuktikan yang dia mempunyai bakat yang besar. Beliau kini lebih gigih dan bertekad untuk melancarkan semula kerjaya seninya. Ternyata usahanya tidak sia-sia. Tahun 2012 nama Suki Low menjadi sebutan ramai kala lagu hitnya ‘Terlalu Mencintaimu’ mendapat tempat di hati peminat. Ia seolah-olah membuka semula laluan baru buat bintang berbakat ini. Dan setelah berjaya meraih perhatian pencinta muzik tempatan dengan lagu tersebut, beliau kini muncul dengan sebuah lagi single untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri seni muzik tanah air.



Suki Low - Untuk Kamu

Single kedua yang berjudul ‘Untuk Kamu’ ini dipetik dari album penuhnya, S-Pop yang bakal diluncurkan pada masa yang sesuai nanti. Album yang mengandungi lima lagu Melayu serta tiga lagu Inggeris itu dijangka mampu mengubati hati peminat-peminatnya. ‘Untuk Kamu’ telah diterbitkan oleh Jeremy Chong dan Suki sendiri. Manakala gubahan dan liriknya oleh Ering Arkad dan Irang Arkad. Irang Arkad adalah vokalis bagi kumpulan BIP dari Indonesia, sebuah kumpulan yang pernah ditubuhkan oleh ahli-ahli kumpulan Slank dari negara yang sama. Lagu ini menampilkan satu kelainan dalam himpunan lagu-lagu balada yang sering diputarkan di radio. Ia turut diserikan dengan dendangan piano oleh Sze Wan untuk menghidupkan lagi melodi lagunya.

Sungguhpun begitu, ramai yang mungkin tidak tahu bahawa lagu ‘Untuk Kamu’ sebenarnya merupakan sebuah lagu nyanyian semula. Lagu asalnya pernah dibawa oleh kumpulan Ares dari Indonesia. Lagu ini sedap didengar kerana melodi baladanya yang bersahaja dan mudah serta alunan suara Suki yang lembut dan mendayu-dayu. Selain itu ia juga dilengkapi dengan lirik-lirik manis yang membuai perasaan mereka yang mendengarnya. Malah, lagu ini pernah Suki nyanyikan buat pertama kali untuk jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan isterinya pada hari perkahwinan mereka pada bulan November 2012 yang lalu.



Gosip Label Aishah Aziz Gosip Yuna

Wordpress Themes - Photography WordPress Themes - Newspaper & Magazine WordPress Themes